Sunday 26 May 2013

Kertas Kerja Islam Liberal (Part 3)

Islam Liberal, kertas kerja islam liberal, manhaj islam liberal, sejarah islam liberal, gerakan islam liberal, IFC, sister in islam, Kumpulan artikel 11.
Gambar hiasan..
Gerakan Islam Liberal di Malaysia.
Bedasarkan pembacaan dan penelitian penulis, kami mendapati wujud beberapa gerakan yang memperjuangkan fahaman liberalisme agama ini. Gerak kerja mereka adalah sama dalam mencapai tujuan kebebasan beragama namun berbeza dalam konteks cara penyebaran dan cara tuntutan. Kebanyakan gerakan bergerak secara lantang melalui pelbagai medium seperti akhbar,forum dan siri jelajah. Mereka ini telah wujud seawal tahun 2000 lagi. Bermula dari satu kelompok dan akhirnya bergabung menjadi suatu bentuk kumpulan pendesak yang cukup jitu tuntutan mereka.

Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (IFC)
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (IFC)[1] yang wujud pada awal Februari 2005 merupakan suatu manifestasi hasil gabungan gerakan-gerakan islam liberal ini. Bermula seawal Disember 2000, lontaran idea bahawa perlu diwujudkan sebuah badan antara agama dalam sebuah persidangan anjuran Majlis  Peguam Malaysia telah diterima. Sehubungan itu, sebuah jawatankuasa antara agama dibentuk. Kemudian, bibit itu bercambah subur pada Ogos 2001 apabila Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (MCCBCHS) telah menyerahkan memorandum yang mengandungi senarai permasalahan yang dihadapi oleh golongan non-muslim dalam mengamalkan agama masing-masing. Gerakan konservatif seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Koordinasi NGO Islam Malaysia (ACCIN) International Movement for Just World (JUST) yang pada awalnya menyertai jawatankuasa tersebut akhirnya menarik diri selepas suara tentangan mereka dipandang sepi ahli majlis jawatankuasa yang lain.
Gerakan ini kemudian tanpa segan silu, terang-terangan dan terus-terusan mengadakan bengkel-bengkel[2], forum-forum, ceramah-ceramah dan siri jelajah untuk memberi pengetahuan umum kepada masyarakat Malaysia akan perjuangan dan segala tuntutan mereka. Jawatankuasa itu kemudian telah mewujudkan suatu deraf Rang Undang-undang Suruhanjaya Antara Agama Malaysia.[3] Penulisan deraf ini merupakan suatu cubaan nekad dari ahli jawatankuasa tersebut dalam mentafsir hak kebebasan beragama dari sudut pandangan sekular liberal. Norma-norma antarabangsa tentang hak kebabasan beragama yang mana kita ketahui bersandarkan pemikiran sekular-liberal Barat telah menjadi tunjang penulisan deraf tersebut.




Kumpulan Artikel 11.
Kumpulan Artikel 11[4] telah ditubuhkan pada bulan Mei 2004. Kumpulan yang terdiri daripada 13 pertubahan bukan kerajaan (NGO)[5] ditubuhkan untuk menegakkan Rukun Negara ketiga iaitu keluhuran Perlembagaan dan menggalakkan kebebasan beragama di Malaysia. Kebanyakan mereka juga bergiat aktif dalam penubuhan IFC. Kumpulan ini menolak sebarang diskriminasi individu atas dasar agama, bangsa, tempat lahir atau jantina. Mereka juga menggesa agar kebebasan berfikir, beragama dan suara hati setiap individu dihormati, dijamin dan dilindungi. Dengan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan undang-undangnya pun sekular, mereka cuba menafikan peranan mahkamah syariah yang mempunyai kuasa sama tara dengan mahkamah sivil dalam sisterm keadilan di Malaysia. Bagi mereka undang-undang sivil adalah lebih gah dari undang-undang Islam yang merupakan secebis daripada pandangan umum yang biasa didokong oleh kelompok sekular-liberal.

Sister In Islam (SIS)
            Menyentuh tentang Sister In Islam, ia adalah sebuah pertubuhan NGO di Malaysia yang didaftarkan pada tahun 1991 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad.[6] Nama SIS digunakan secara komersial dalam urusan penyiaran tetapi mereka menggunakan nama syaikat bagi urusan rasmi. SIS telah diasaskan oleh Dr. Amina Wadud pada tahun 1988. Ketika itu beliau adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Teologi. Seramai 6 orang wanita muslim yang prihatin terhadap permasalahan wanita telah bersatu hati membentuk jawatankuasa ketika awal penubuhan SIS iaitu Dr. Amina Wadud, Zainah Anwar, Salbiah Ahmad, Sharifah Zuriah, Rashidah Abdullah dan Ros Ismail.[7]
Tumpuan mereka adalah untuk mencabar undang-undang dan dasar atas nama Islam yang dikatakan mendiskriminasikan kaum wanita. Kemudian, berkembang kepada isu-isu lain yang lebih luas seperti hak asasi manusia, perlembagaan hinggalah soal-soal poligami, murtad, aurat, persamaan antara hak antara lelaki dan wanita, pengkid dan sebagainya lagi.[8] Mereka cukup lantang menyuarakan hak-hak wanita yang dianggap mendiskriminasikan dan merendah-rendahkan kaum Hawa. Maka, tidak hairan dalam dua gerakan yang telah kami perincikan diatas mereka cukup kuat menampilkan diri dalam memastikan suara mereka didengari oleh semua pihak.
Kelangsungan perjuangan mereka adalah bertunjangkan kepada mahu melawan segala pemikiran jumud yang ada dalam kalangan umat Islam hari ini. SIS mahu mengajak masyarakat meneliti sesuatu perkara berdasarkan realiti kehidupan semasa pada ketika ini. Idea dan pemikiran mereka mendapat tempat dengan mudah di dada-dada akhbar perdana terutamanya akhbar Bahasa Inggeris seperti The New Straits Times. Secara tidak langsung, penyiran makalah mereke menyebarluaskan pengaruh pemikiran mereka ini. Mereka yang terdidik dengan aliran Inggeris baik dalam atau luar negara, serta kurang terdedah kepada pembelajaran Islam yang sistematik mudah terjerat dangan wahana pemikiran ini. Terkini, mereka telahpun menghasilkan kumpulan tafsir wanita yang bertumpu penyebarannya kepda ibu-ibu tunggal dan janda. Penafsiran dalil-dalil mereka cukup berlawanan dengan penfsiran Islam yang sebenar tentang hak-hak kaum Hawa di dalam al-Quran.

Apakah bahanya kepada Islam dan Muslim.
            Berikut kami paparkan beberapa akibat yang telah berlaku hasil perjuangan fahaman Islam Liberal hari ini:[9]
·         Al-Quran dan hadis Rasulullah telah disama tarafkan sepertimana buku-buku sastera yang lain.
·         Cuba memansuhkan syariat Islam yang bertentangan dengan piagam hak asasi manusia seperti hukuman zina dan mencuri.
·         Prinsip aqidah mereka telah lari dari doktrin yang dipegang golongan sunni.
·         Berhasil menimbulkan keraguan aqidah dan memecah belahkan umat Islam.[10]
·         Golongan moderat Islam ini telah mendapat tempat hingga ke peringkat dunia.[11]
·         Status Islam yang syumul (menyeluruh) sebagai ad-din telah menurun menjadi agama sivil atau agama peribadi semata-mata.
·         Cukup lantang mempertikaikan kewibawaan autoriti golongan ulama terutamanya Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kesimpulan
            Agama Islam mengakui perbezaan agama yang lain tetapi tidak mengakui kebenaran agama yang lain sebab agama yang benar hanyalah agama Islam sedangkan agama yang lain adalah batil.Namun, dalam mengimplementasikan suruhan Islam yang sebenar, tidak seharusnya wujud suatu pembaharuan dalam perkara-perkara pokok tentang Islam yakni perkara-perkara tentang akidah. Makanya, kewujudan fahaman Islam Liberal yang mana telah lari jauh dari pegangan akidah yang sebenar tidak seharusnya diiktiraf kewujudannya. Konsep pegangan mereka cukup berbahaya bagi akidah umat Islam dan pengekalan prinsip-prinsip Islam baik dalam bidang akidah, mahupun dalam bidang syariah dan akhlak.
Bagi Islam Liberal, semua ayat menjadi ayat yang boleh ditakwilkan sesuai dengan akal fikiran mereka, padahal Allah telah menyatakan bahawa tidak semua ayat itu dapat ditakwilkan, tetapi sebahagiannya ad yang tetap dan pasti(qat’ie), dan jika ada yang dapat ditakwilkan(zanni), maka pentakwilan tersebut tidak dapat dilakukan oleh semua orang tetapi mereka yang sudah memilik ilmu pengetahuan dengan mendalam terhadap hukum-hukuk dan prinsip-prinsip pengambilan hukum berdasarkan nas Al-Quran dan nas-nas hadis Rasulullah. Jika pemikiran terhadap Islam hanya menggunakan dasr rasional dan akal semata-mata, ia merupakan jalan menuju kesesatan. Begitu juga akal fikiran itu dipandu oleh hawa nafsu sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran.
Semoga tulisan ringkas ini dapat membangkitkan kesedaran kita terhadap cabaran akidah yang semakin keras dan jitu kuasanya. Semoga Allah memberikan petunjuk dan kekuatan agar kita mendapat cara dan ikhtiar yang terbaik dalam menghadapi serangan Islam Liberal sehingga umat Islam dan kebenaran agama Islam tetap terpelihara sehingga tamatnya riwayat alam ini. Wallhu A’lam.


[1] Kumpulan yang menyokong penubuhan IFC ialah Majlis Peguam Malaysia, Malaysian Consultive Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS), Pure Life Society, Inter-Religious Spiritual and Fellowship (INSAF), Malaysian Interfaith Network, Sister In Islam, FORUM IQRA, Spiritual Assembly of Baha’is of Malaysia, Perseketuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia, Federation of I-Kuan Tao Association Malaysia, Soka Gakkai Malaysia, Sri Sathya Sai Central Council, Circle of Life, Theosophical Society, National Human Right Society (HAKAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Aliran Kesedaran Kebangsaan (ALIRAN), National Council of Women’s Organization Malaysia (NCWO), Research for Social Advancement (REFSA).
[2] Bengkel “Towards the Formation of an Inter-Religious Council” bertarikh 17 Mei 2003 merupakan antara bengkel terawal yang membentangkan akan gagasan ini. Pada mulanya SIS telah memboikot bengkel tersebut kerana tidak berpuas hati melihatkan kegagalan jawatankuasa memupuk kerjasama antara wakil-wakil komuniti agama tetapi kembali menganggotainya semula.
[3] Deraf ini jika dilihat banyak mengaplikasikan akan kehendak manusia semata-mata melalui pelbagai seksyen yang mereka kemukakan terutamnya berkaitan dengan hak kebebasan manusia dalam semua bidang kehidupan.
[4] Nama “Artikel 11” digunakan sempena Perkara 11 Perlembagaan Perseketuan yang menjamin hak kebebasan beragama.
[5] Kebanyakan NGO yang menganggotai Kumpulan Artikel 11 juga menyertai dan menyokong gagasan penubuhan IFC.
[6] Mazlan Ibrahim, Latifah Abdul Majid, Fadlam Mohd Othman, 2012, Islam Liberal : Isu dan Reaksi., Selangor, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor. Hlm. 53.
[7] Jabatan Agama Islam Selangor, (t.t), Sister In Islam, Wajah Gerakan Islam Liberalisme                 di Malaysia. Selangor, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor. Hlm. 53.
[8] Mazlan Ibrahim, Latifah Abdul Majid, Fadlam Mohd Othman, 2012, Islam Liberal : Isu dan Reaksi., Selangor, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor. Hlm. 53.
[9] Mazlan Ibrahim, Latifah Abdul Majid, Fadlam Mohd Othman, 2012, Islam Liberal : Isu dan Reaksi., Selangor, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor. Hlm. 54.
[10] Umat Islam di Indonesia telah diharamkan untuk menganggotai kelompok Islam Liberal melalui fatwa yang dikeluarkan oleh majlis Ulama Indonesia (MUI) pada 25 Julai 2005.
[11] Pada tahun 2003, persidangan KALIF yang berkisar tentang Islam dan cabaran madeniti telah dihadiri ramai tokoh-tokoh Islam Liberal dengan tujuan untuk mempengaruhi inteligensia Muslim di Malaysia supaya bersikap kritis terhadap warisan Islam. (al-turath al-islami)

Part 1 (SINI)
Part 2 (SINI)

No comments:

Post a Comment