Sunday, 26 May 2013

Kertas Kerja Islam Liberal (Part 2)

Islam Liberal, kertas kerja islam liberal, manhaj islam liberal, sejarah islam liberal, gerakan islam liberal, IFC, sister in islam, Kumpulan artikel 11.
Gambar hiasan..
Bagaimana manhaj islam liberal ?
Islam liberal merupakan satu aliran yang bercanggah dengan aliran islam yang sebenar. Sejak akhir-akhir ini, aliran ini semakin berkembang dan sedang mengambil tempat di hati orang-orang muslim di Malaysia. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan sebegitu kerana boleh mendatangkan kesan buruk terhadap akidah umat islam. Jadi untuk membanteras dan menangani masalah ini, seharusnya kita mengenali apakah manhaj atau ciri-ciri aliran Islam Liberal ini. Mungkin kebanyakan umat islam yang tidak tahu menganggap bahawa aliran islam liberal ini berlandaskan agama islam yang sebenar. Atas sebab itulah, mereka senang terpengaruh dengan aliran islam liberal ini. Untuk pengetahuan, manhaj atau ciri-ciri aliran ini mengarahkan kepada pembukaan dan pembebasan tafsiran agama[1].  Mereka memperjuangkan Islam yang terbuka dan bebas daripada belenggu tafsiran lama ke arah tafsiran baru lagi segar demi kejayaan umat. Berikut ini akan disenaraikan beberapa manhaj atau pegangan yang dipegang oleh aliran Islam Liberal ini.

Manhaj Islam Liberal tentang agama Islam :
Manhaj kesamaan agama merupakan manhaj utama yang diperjuangkan oleh aliran ini dengan menyebarkan fahaman Pluralisme agama iaitu fahaman yang menyakini bahawa semua agama adalah sama-sama benar dan merupakan jalan menuju kepada Tuhan yang sama. Menurut Ulil Absar Abdallah iaitu penyelia Jaringan Islam Liberal di Indonesia, beliau mengatakan bahawa :
“Semua agama adalah sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi islam bukan agama yang paling benar  (Majalah Gatra, 21 Desember 2002)[2]. Ulil Absar juga menulis : “Dengan tanpa rasa segan dan malu saya mengatakan bahwa semua agama adalah tepat berada pada jalan seperti itu, jalan panjang menuju Yang Maha Benar. Semua agama, dengan demikian, adalah benar, dengan variasi, tingkat dan kadar kedalaman yang berbeza-beza dalam menghayati jalan keagamaan itu. Semua agama adadalam satu keluarga besar yang sama : yaitu keluarga pencinta jalan menuju kebenaran yang tak pernah ada hujungnya “(Kompas, 18-11-2002, dalam artikel : “Menyegarkan kembali pemahaman Islam”)[3]. Dr.Alwi Shihab, mantan Menteri Luar negara Indonesia, pensyarah di Universiti Islam Negeri Jakarta, menyatakan : “Prinsip lain yang digariskan oleh al-Quran adalah pengakuan kewujudan orang yang berbuat baik dalam setiap komuniti beragama dan dengan begitu, layak memperoleh pahala dari Tuhan. Jelas prinsip ini memperkukuh idea mengenai Pluralisme keagamaan dan menolak eksklusivisme. Dalam pengertian lain eksklusivisme keagamaan tidak sesuai dengan semangat al-Quran. Sebab al-Quran tidak membeza-bezakan antara satu komuniti agama dari lainnya”[4]

Aliran ini menganggap bahawa agama islam adalah agama yang benar. Dalam masa yang sama aliran ini juga berpendapat bahawa semua agama adalah benar. Mana-mana agama yang berkonsepkan ketuhanan yang menyuruh dan menyeru kearah kebaikan ianya dianggap sama-sama benar. Manhaj kesamaan agama merupakan manhaj tersendiri yang unggul bagi aliran ini kerana tidak ada satu pun agama sebelum ini samada agama yang masih tulen atau yang telah diubah suai, mendakwa atau berpegang dengan manhaj kesamaan antara agama[5]. Keunggulan manhaj ini tidak sesekali menunjukkan dan menggambarkan keistimewaan mereka tetapi menunjukkan keterdesakan mereka kerana mereka sanggup mengorbankan segala sesuatu demi mencapai kehendak akal dan nafsu mereka semata-mata.

Manhaj Islam Liberal tentang al-Qur’an :            
Islam Liberal ini turut menggugat kesucian kitab suci al-Quran dengan tafsiran-tafsiran yang tersendiri. Mereka turut mempertikaikan tentang wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT. Menurut mereka, wahyu ini terbahagi kepada dua iaitu wahyu yang bertulis dan tidak bertulis. Wahyu yang bertulis merupakan kitab suci al-Quran yang mana bagi mereka hanyalah teks semata-mata, manakala wahyu yang tidak bertulis pula merujuk kepada akal manusia itu sendiri[6]. Perkara ini telah dijelaskan oleh tokoh islam liberal sebagaimana dalam Harian Kompas tanggal 18 November 2002, koordinator jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla menulis : “Bagi saya, wahyu tidak berhenti pada zaman Nabi. Wahyu terus bekerja dan turun kepada manusia. Wahyu verbal memang telah selesai dalam Al-Quran, tetapi wahyu non verbal dalam bentuk ijtihad akal manusia terus berlangsung”[7]. Bagi mereka, akallah yang sebenarnya menghidupkan teks-teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks dan suasana zaman. Jadi disini, mereka menganggap bahawa al-Quran hanya menerangkan tujuan-tujuan agama semata-mata dan disinilah fungsi akal manusia mentafsirkannya mengikut penyesuaian sesuatu zaman. Sesuatu hukuman yang digunapakai pada zaman dahulu tidak boleh dilaksanakan pada zaman sekarang kerana ianya telah lapuk dan tidak bersesuaian pada zaman sekarang. Sebagai contoh terhadap firman Allah SWT :

{(38)  حَكِيمٌ عَزِيزٌ وَاللَّهُ اللَّهِ مِنَ نَكَالًا كَسَبَا بِمَا جَزَاءً أَيْدِيَهُمَا فَاقْطَعُوا وَالسَّارِقَةُ وَالسَّارِقُ }
Bermaksud: Pencuri, lelaki dan perempuan hendaklah kamu potong tangan kedua-duanya sebagai balasan dari apa yang kedua-duanya lakukan dan sebagai seksa dari Allah. Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Maidah 5: 38)     

Dalam firman Allah SWT ini menerangkan tentang hukuman terhadap pesalah lelaki dan perempuan yang melakukan kecurian. Hukuman potong tangan dikenakan terhadap pesalah-pesalah. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa hukuman ini telah dilaksanakan pada zaman Nabi Muhammad SAW dan juga para Sahabat. Akan tetapi, menurut fahaman islam liberal ayat diatas menerang tentang wajib dikenakan hukuman terhadap pencuri tetapi hukumannya boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian masa dan tempat. Menurut mereka, hukuman potong tangan tidak lagi releven untuk dilaksanakan pada zaman sekarang kerana tidak akan membawa kepada kemajuan islam. Bagi pesalah-pesalah ini, mereka perlu dikenakan hukuman penjara kerana bagi fahaman islam liberal ini hukuman penjara ini releven dan sesuai untuk dilaksanakan pada zaman sekarang. Mana-mana hukuman yang telah dinyatakan dalam al-Quran boleh diubah dan dibuat pembaharuan  mengikut akal dan tafsiran mereka. Ini kerana bagi mereka pembaharuan ini dapat memajukan dan meningkatkan taraf umat islam. Begitulah manhaj membuka dan mentafsir yang dipegang oleh islam liberal ini. Sehinggakan segala apa yang telah dipraktikkan pada zaman Rasullah SAW tidak semestinya perlu diamalkan pada zaman sekarang.
Selain itu, kumpulan islam liberal ini dalam mengkritik al-Quran mereka menggunakan metod pentafsiran hermeneutika iaitu “to understand the discourse just as well as even better than its creator”  (Freidrich Schleiemenrcher “The Hermeneutics: Outline of the 1819 lectures”, dalam Hermeneutic Tradition, 1990, m.s.93)[8]. Pada awalnya, metod hermeneutics ini digunapakai oleh golongan pemikir barat dalam mentafsir kitab Bible mereka. Ini kerana kitab Bible ini mempunyai banyak persoalan yang tidak jelas. Jadi akibat pengaruh barat ini, islam liberal telah menggunapakai metod hermeneutics ini dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran[9]. Demikian juga dengan Muhammad Arkoun yang menyatakan bahawa hermeneutika adalah cara terbaik untuk mentafsirkan al-Quran sebab dengan hermeneutika kita dapat menafsirkan al-Quran sesuai dengan tinjauan sejarah, sosiologi, dan antropologi sehingga dengan demikian kita akan  menolak bentuk pentafsiran yang mensucikan dan memuliakan al-Quran sebagaimana yang telah dilakukan secara teologis dan tradisional (Muhammad Arkoun, Rethinking Islam, 1994, m.s.36)[10]. Dengan pernyataan ini Arkoun menganggap bahawa al-Quran itu tidak suci dan mulia, sama dengan buku yang dapat dianalisa dan dikaji sesuai dengan keadaan dan situasi tertentu. Demikian beberapa pemikiran Islam Liberal yaang sangat berbahaya dan mampu mempengaruhi umat islam yang cetek ilmu agamanya. Tambahan lagi, di Malaysia sendiri golongan ini semakin hari semakin berkembang dan pemikiran mereka telah masuk ke dalam institusi pendidikan Islam.

Manhaj Islam Liberal tentang Hadis-Hadis :
            Sepertimana manhaj-manhaj yang lain, Islam Liberal mempunyai manhaj yang tersendiri berkaitan dengan hadis-hadis Nabi SWA. Pertikaian dibuat terhadap semua hadis Nabi SAW walaupun yang termuat di dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim[11]. Mereka juga berpendapat bahawa hadis-hadis ini hanya ciptaan manusia yang ingin mengambil manfaat untuk diri mereka sendiri bukannya datang daripada Baginda SAW. Sebagai contoh hadis-hadis yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib seperti azab kubur, Padang Masyar, Titian Sirat dan sebagainya hanyalah ciptaan perawi-perawi hadis. Berkaitan dengan hadis Mutawatir dan hadis Ahad, mereka mempunyai pandangan yang tersendiri. Mereka menolak hadis-hadis Ahad dan hanya menerima hadis-hadis mutawatir[12]. Walaubagaimana pun kebenaran hadis Mutawatir hanya dalam kontek kehidupan masyarakat Arab pada zaman Rasulullah SAW dan tidak sesuai untuk zaman sekarang. Aliran Islam Liberal ini kebanyakan menolak apa yang dibuat dan dilaksanakan pada zaman Baginda SAW kerana bagi mereka ianya tidak releven lagi dilaksanakan pada zaman sekarang terutamanya untuk memajukan agama Islam.

Manhaj Islam Liberal terhadap Rasulullah SAW :     
            Rasulullah SAW merupakan nabi dan juga rasul yang diutuskan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia di muka bumi ini. Beliau mempunyai sifat Nubuwah yang dikurniakan oleh Allah SWT yang mana ianya tidak dikurniakan kepada manusia biasa. Akan tetapi bagi aliran Islam Liberal, sifat Nubuwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW hanyalah merupakan sifat atau kemampuan biasa yang boleh dimiliki oleh semua manusia[13]. Mana-mana manusia yang boleh memimpin dan mempunyai kemampuan dalam memimpin manusia ke arah kebaikan boleh mempunyai sifat Nubuwah yang seumpama Baginda SAW. Oleh sebab itu bagi aliran ini Rasulullah SAW hanyalah manusia biasa yang lazimnya melakukan kesilapan dan kebenaran. Kritikan dan pujian terhadap baginda SAW menjadi perkara biasa bagi aliran ini. Oleh kerana itulah kita dapat lihat bahawa terdapat tokoh-tokoh aliran Islam Liberal tidak segan silu dan bersalah untuk mengkritik baginda SAW. Ada yang mengatakan Baginda SAW itu seorang yang mempunyai nafsu yang kuat kerana mempunyai isteri yang ramai. Sunnah-sunnah yang diamalkan oleh baginda juga sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai untuk dipraktikkan pada zaman sekarang. Jadi mereka memandang golongan yang memakai jubah, serban, dan berjanggut itu sebagai manusia yang ketinggalan zaman. Mereka juga tidak mempercayai tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj yang mana ia merupakan peristiwa kemukjizatan Baginda SAW[14]. Peristiwa ini hanya rekaan semata-mata oleh golongan-golongan yang taksub terhadap Baginda SAW.
Penafian demi penafian turut dibuat. Mereka turut mempertikaikan tentang status Baginda SAW yang merupakan nabi dan rasul yang terakhir. Menurut Budy dalam bukunya yang mendakwa bahawa : “ Nabi Muhammad S.A.W. yang dalam pandang teologis Islam dianggap sebagai ‘penutup’ (khatam) segala Nabi dan Rasul. Pengertian ‘penutup” disini berkaitan dengan klaim argumen Islam sebagai agama terakhir : Dalam al-Quran kata ‘khatam secara harfiah bererti “cincin”, iaitu pengesah dokumen (seal)”[15]. Pandangan yang dilontantarkan ini sangat bercanggah dengan dalil atau nas-nas “Qatii” daripada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW dan juga ijmak para ulamak yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW itu merupakan Nabi yang terakhir. Terdapat ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan Nabi yang terakhir. Allah berfirman yang bermaksud :

Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
  (Surah Al-Ahzab: ayat 40)

            Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari turut menjelaskan tentang perkara ini, antaranya yang bermaksud: “Sesungguhya Kerasulan dan Kenabian telah terputus, maka tiada Rasul selepasku dan tiada Nabi.....”[16]. Oleh itu sesiapa yang tidak berpegang dan menolak nas al-Quran dan hadis yang sahih riwayatnya akan jatuh kufur berdasarkan kesepakatan yang telah dibuat oleh para ulama’.

Manhaj Islam Liberal Terhadap Ilmu-Ilmu Islam :    
            Dalam agama islam terdapat banyak ilmu-ilmu islam yang menjadi asas dan merupakan sesuatu yang baku di dalam disiplin ilmu-ilmu islam antaranya ialah ilmu usul fiqh, usul tafsir, usul hadis, dan sebagainya. Akan tetapi, bagi aliran islam liberal ini ilmu-ilmu ini tidak penting dan mereka memandang remeh terhadap ilmu-ilmu ini kerana ilmu ini dikarang oleh manusia dan ianya tidak sunyi daripada kesalahan dan kecacatan. Mereka turut mempertikaikan methodologi pentafsiran al-Quran yang diguna pakai masa kini dengan slogan membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran[17]. Oleh sebab itu, mereka tidak menggunakan tafsiran-tafsiran ini dalam pentafsiran mereka untuk membebaskan agama islam. Atas dasar ini jugalah mereka mempertikaikan tentang perkara-perkara yang ‘qat’i’ iaitu yang sudah muktamad di dalam Islam. Bagi mereka perkara-perkara ini masih terbuka dan bebas daripada segala maksud dan tafsiran. Oleh sebab itu seseorang tidak boleh mendakwa bahawa pendapatnya sahaja yang benar. Maka yang demikian, tidak pelik bagi aliran ini meremeh-remehkan tokoh-tokoh islam kerana mereka ini merupakan manusia biasa yang turut sama melakukan kesilapan dan kebenaran. Bagi mereka ulamak-ulamak islam ini merupakan  manusia yang dibelenggui oleh tafsiran jumud akibat penyembahan mereka terhadap teks-teks yang mereka cipta sendiri[18]. Kita dapat lihat terdapat tokoh islam liberal ini mencerca tokoh-tokoh islam antaranya Nurcholish Madjid bersama Tim Penulis Paramadina dalam buku “Fiqih Lintas Agama” di halaman 5 telah melemparkan cercaan terhadap Imam Syafii yang dituduh penghalang perkembangan fiqih[19].   
  
Manhaj Islam Liberal Terhadap Hukum-Hukum Fiqh :
            Apabila merujuk kepada hukum-hukum fiqh, aliran islam Liberal ini mempunyai kaedah usul yang tersendiri yang membawa kepada pengjagaan kemaslahan manusia. Jadi mencapai tujuan ini hukum-hukum yang telah ditetapkan boleh diubah-ubah mengikut masa dan tempat. Mereka tidak merasa bersalah dan segan silu mengubah hukum yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Contohnya dalam bab faraid, hudud, perkahwinan, persaksian dan sebagainya. Dalam bab faraid, kadar pembahagian harta yang telah ditetapkan telah diubah kononnya untuk lebih adil antara ahli waris. Dalam hukuman hudud pula, mereka tidak mengguna pakai apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka menentukan hukuman tersebut menggunakan kehendak mereka sendiri asalkan bagi mereka dapat memajukan umat islam. Bagi mereka hukuman hudud sudah tidak releven pada zaman sekarang khususnya untuk memajukan umat islam. Dalam bab perkahwinan pula aliran Islam Liberal ini membenarkan perkahwinan sesama jenis. Mereka juga turut menggalakkan homoseksual dan penzinaan. Di Indonesia, kelompok liberal ini memperjuangkan agar perkahwinan sesama jenis dibenarkan di negara tersebut. Mereka turut menerbitkan buku berjudul “ Indahnya Kahwin Sesama Jenis”[20].     




[1]Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 13.
[2]Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t) Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 12.
[3]Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t) Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 13.
[4]Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t)  Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal ,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 14.
[5] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 14.
[6] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 14.
[7] Wan Zahidi Bin Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan). (t.t) Kertas Kerja Gerakan Islam Liberal Di Indonesia DanKaitannya Dengan Esq. Kuala Lumpur. Hlm. 24.
[8] Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t)  Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal,  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 24.
[9] Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t) Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal,  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 24.
[10] Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t) Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal,  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 24-25.
[11] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 18.
[12] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 18.
[13] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 16.
[14] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 17.
[15] Wan Zahidi Bin Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan). (t.t) Kertas Kerja Gerakan Islam Liberal Di Indonesia Dan Kaitannya Dengan Esq. Kuala Lumpur. Hlm. 22.
[16] Wan Zahidi Bin Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan). (t.t)  Kertas Kerja Gerakan Islam Liberal Di Indonesia Dan Kaitannya Dengan Esq. Kuala Lumpur. Hlm. 23.
[17] Hj.Mohammad Ariffin Ismail, (t.t)  Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal,  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, hlm. 42.
[18] Hafiz Firdaus Abdullah. 2007. Membongkar Aliran Islam Liberal. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa. Hlm. 20.
[19] Wan Zahidi Bin Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan). (t.t) Kertas Kerja Gerakan Islam Liberal Di Indonesia Dan Kaitannya Dengan Esq. Kuala Lumpur. Hlm. 25.
[20] Wan Zahidi Bin Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan). (t.t) Kertas Kerja Gerakan Islam Liberal Di Indonesia Dan Kaitannya Dengan Esq. Kuala Lumpur. Hlm. 25.

Part 1 (SINI)
Part 3 (SINI)

No comments:

Post a Comment