15 Syaaban 1434H: 24 Jun 2013 Isnin (Nisfu Syaaban)
Malam Nisfu Syaaban: 23 Jun 2013: sebaik sahaja lepas waktu Maghrib
Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.
Antara Amalan yang elok diamalkan pada Nisfu Syaaban:
1. Membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali pada malamnya.
2. Melakukan Qiamullail.
3. Berpuasa pada siang harinya.
Adapun kelebihan Malam Nisfu Syaaban itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)
Di Malam Nisfu Syaaban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban."
Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Syaaban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.
p/s : Jom kita prepare siap-siap untuk menyambut bulan Ramadhan. Salam Nisfu Syaaban.
No comments:
Post a Comment