Monday 13 May 2013

Sejarah Masjid Agung di Nusantara

Masjid Wadi al-Hussein.

Masjid Telok Manok yang terletak di Wadi Hussein juga dikenali sebagai Masjid Wadi al-Hussein. Masjid ini berada di Bacho, Patani (dalam wilayah Narathiwat) telah dibina pada abad ke-15 lagi.
Masjid ini telah dibangunkan oleh Syeikh Wan Hussein as-Senawi bin Sayyid Ali Nurul Alam. Beliau juga merupakan adik kepada Sultan Wan Abdullah Umdatuddin serta bapa saudara Sunan Gunung Jati dan Raden Fattah. Sunan Gunung Jati dan Raden Fattah pula anak Sultan Wan Abdullah Umdatuddin tetapi berlainan ibu. Bonda Sunan Gunung Jati ialah Nyai Rara Santang binti Prabu Siliwangi manakala bonda Raden Fattah ialah Nyai Chondrowati atau Syarifah Zainab binti Sayyid Ibrahim al-Hadhrami (Ibrahim Asmaro).
Syeikh Wan Hussein as-Senawi dilahirkan di Kampung Sena di Patani. Setelah Siam Ayuthia telah dihalau keluar dari Chermin-Langkasuka pada tahun 1467, beliau bersama adiknya Wan Demali (Wan Demali Alimuddin, Patih Kermawijaya Laksamana Bentan) telah ke Pulau Madura untuk berdakwah. Di Demak, Syeikh Wan Hussein telah dilantik oleh anak saudaranya, Raden Fattah, sebagai penasihat Sultan Demak. Disebabkan ketika itu Demak sentiasa mendapat sokongan padu daripada Wali Songo, Syeikh Wan Hussein berdakwah pula di Pulau Sumbawa sebelum pulang ke Patani.
Tiba di Patani, adik beradik beliau telah membuat pembahagian tugas serta kawasan untuk berdakwah. Wan Abdullah telah ke Champa, Wan Hussein sendiri ditugaskan di Telok Manok di Patani, Wan Demali ke Bentan di Sumatera, Wan Hassan di Bangkok dan Wan Senik di Kerisik, Patani.
Dianggarkan bahawa Syeikh Wan Hussein telah kembali ke Patani dalam lingkungan tahun 1470. Semasa berdakwah di Teluk Manok, beliau telah membangunkan Masjid Telok Manok sekitar  tahun 1470 dan 1480 Masehi. Kerja-kerja pembaikan telah banyak kali dilakukan untuk menjaga serta memperbesarkan masjid berkenaan.  Terdapat satu catatan dipintu masjid bertarikh 1266 Hijrah (1850 Masehi), menunjukkan tarikh penggantian atau baikpulih ada dibuat dalam tahun tersebut.
sumber rujukan (SINI)
Masjid Tengkera.

Masjid Tengkera merupakan sebuah masjid yang terletak di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Ia dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid bersejarah kerana dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Hulu di Melaka.
Keunikan reka bentuk Masjid Tengkera pada zaman itu membuktikan bahawa Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu. Pada asalnya, masjid ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan,Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910.
Di dalam kawasan masjid ini terdapat makam Sultan Hussein Muhamad Shah dari Johor yang telah mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819.
Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka. Sultan Hussein Muhamad Shah mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan di perkarangan masjid ini.
sumber rujukan (SINI)

Masjid Kampung Laut.

Masjid Kampung Laut yang dibangunkan semula di Nilam Puri, asalnya terletak di Kampung Laut di pinggir Sungai Kelantan, iaitu di seberang sebelah hilir Bandar Kota Bharu. Masjid yang asal bukanlah seperti yang dilihat pada hari ini. Struktur asasnya dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat. Atapnya adalah diperbuat dari daun rumbia. Keluasannya hanya 400 kaki persegi pada keseluruhannya. Masjid ini mempunyai bentuk yang sama dengan Masjid Agung demak di Jawa dan Masjid Kuno (Masjid Panduranga) di Champa.
Pembinaan masjid ini menggabungkan banyak unsur seni dan falsafah keagamaan pada bentuk senibinanya. Rumah ibu bertingkat tiga dikaitkan dengan falsafah ketuhanan. Lapisan bawah diibarat penuh dengan kotoran, makin ke atas semakin bersih akhirnya menuju kea lam luas yang tidak terbatas terlepas dari sebarang bentuk dan ianya kembali kepada Allah S.W.T.
 Pada akhir abad ke-19, masjid ini telah diperbesarkan akibat daripada fungsinya yang menjadi pusat agama penting di Kelantan. Ruang solat tambahan, peran, serambi dan menara telah ditambah. Sebanyak 20 batang tiang telah ditambah untuk menyokong binaan tambahan ini. Teknik tebuk pasak yang mana tidak menggunakan sebarang paku telah digunakan dalam pembinaan tersebut. Atap dari daun rumbia telah digantikan dengan atap genting.
Tiada catatan jelas mengenai tarikh pembinaan Masjid Kampung Laut ini. Bagaimana pun terdapat catatan sejarah tentang perjalanan sekumpulan pendakwah dari Champa telah singgah di Kelantan dalam meneruskan misi dakwah ke Pulau Jawa, itu kerajaan Hindu Majapahit. Disebabkan tempoh masa yang panjang berada di Kelantan serta sebagai destinasi persinggahan dalam perjalanan ulang alik mereka, maka kumpulan pendakwah tersebut telah membina sebuah masjid untuk kegunaan mereka dan penduduk setempat.
Kumpulan pendakwah itu diketuai oleh Ibrahim Asmaro (Sunan Nggesik). Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Sunan Ampel (Maulana Ahmad Rahmatullah), Maulana Makhdum Ishaq (Sunan Wali Lanang) serta beberapa orang lagi. Berdasarkan catatan sejarah perjalanan mereka, maka kemungkinan tarikh Masjid Kampung Laut dibina ialah antara tahun 1419 dan 1453 Masehi. Ini bermakna masjid tersebut telah berusia lebih 550 tahun (550 hingga 590 tahun).
sumber rujukan (SINI)

No comments:

Post a Comment