Ibn Abbas menceritakan bahawa beliau tidak pernah melihat
Rasulullah begitu tekun untuk berpuasa dengan melebihkan
pada hari-hari yang lain selain daripada puasa pada
hari Asyura dan bulan Ramadan.
[Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ahmad]
Sebenarnya Hari Asyura bukan sahaja dibesarkan oleh umat Islam, tetapi oleh Nabi Musa sebelum itu lagi. Bahkan orang Yahudi pun turut membesarkan hari tersebut. Dan bagi membezakan antara puasa Islam dan Yahudi, maka Rasulullah menggalakkan agar berpuasa pada sama ada pada hari ke 9 sekali atau dengan hari ke 11 Muharram sekali [Sahim Muslim] atau pun ketiga-tiga hari sekali gus [Riwayat Ahmad]. Bahkan sebenarnya, sebelum puasa Ramadan di wajibkan kepada umat Islam, puasa Asyura' terlebih dahulu diwajibkan bagi umat Islam bahkan orang Jahiliyyah pun berpuasa pada hari itu juga.
Bukan sekadar untuk mengelakkan daripada menyerupai Yahudi, bahkan umat Islam digalakkan untuk tidak keterlaluan menyambut 10 Muharram untuk membezakan daripada penganut Syiah. Tidak sedikit ulama' termasuk Imam Syafi'i menganjurkan agar perlu dibezakan bentuk sambutannya. Syiah menyambut 10 Muharram kononnya tarikh kematian Hussayn r.h yang dikatakan dibunuh oleh Yazid r.h, sedangkan pembunuh Husayn adalah golongan Syiah sendiri seperti ditulis oleh banyak ahli sejarah termasuk Ibn Kathir.
Apa pun, puasa hari Asyura sangat dituntut. Dalam Sahim Muslim, dilaporkan bahawa Rasulullah bersabda,
"Puasa pada hari Asyura menghapuskan dosa setahun yang lalu"
Nah, apa lagi yang kita sebagai hamba Allah ini inginkan, selain pengampunan dosa oleh Allah. Hamba yang lemah, jiwa yang berdosa, perlukan penyucian agar hubungan dengan Allah sentiasa murni daripada segala noda.
Namun tidak ada cara yang mampu memurnikan hubungan hamba dangan Penciptanya melainkan dengan cara yang ditentukan oleh-Nya, melalui sunnah yang dibawa oleh Rasul-Nya.
Dipetik dari : ideologi.my
No comments:
Post a Comment